Monday, January 18, 2010

Hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia

oleh Mohd Mahzan Awang (Biro Penerangan dan Informasi KMD)

Usrah warga KMD secara gabungan dilakukan di rumah saudara Zahir pada 16 Januari 2010. Usrah yang dilakukan selang 2 minggu ini merupakan budaya KMD. Ia menyatukan warga KMD menerusi tradisi keilmuan. Lazimnya, usrah dimulakan dengan bacaan al-Quran, diikuti dengan tafsiran al-Quran dan al-Hadis, kemudian disusuli dengan perbincangan isu semasa. Adakalanya solat hajat dilakukan bagi memohon rahmat Allah swt terhadap apa jua isu yang didepani.

Ibadat dalam Islam
Ayat 157 - 167 dari surah al-Baqarah dikupas. Ayat ini adalah berkaitan dengan ibadah haji yang melibatkan sa'i antara bukit Safa dan Marwah. Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa ibadah khusus tidak boleh direka-reka atau dicipta sendiri. Kesemua ibadah khusus dalam Islam adalah bersandar kepada dalil dan nas yang jelas dari al-Quran dan al-Hadis. Maka, bagi golongan anti Hadis, satu hujah balas yang logik ialah sebagaimana berikut:
"Al-Quran mengarahkan umat Islam mendirikan solat tetapi tidak memperincikan bagaimana untuk mengerjakannya. Kepada anti-Hadis, soalan yang boleh menyedarkan mereka ialah dengan meminta mereka mengerjakan solat tanpa panduan al-Hadis. Bagaimana nak mengerjakan solat tanpa berpandukan kepada al-Hadis juga".

Kawalan emosi dalam Islam
Menerusi ayat 41 - 45, surah al-Baqarah, Allah swt menjelaskan kaedah untuk berdepan dengan masalah yang membangkitkan rasa marah. Maka, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan beristighafar. Istighafar memohon keampunan Ilahi. Ini adalah kerana kemungkinan besar masalah yang kita hadapi adalah salah satu kifarah terhadap dosa-dosa kita. Kemudian, kita diminta mengambil wudhu' dan mendirikan solat. Secara psikologi, marah tidak membabitkan masa yang lama. Marah lazimnya hanya sekitar 5 minit saja, selebihnya adalah ego, imej, maruah dan segala bentuk penyakit hati yang membuatkan kita keras hati dan berdegil dengan pendirian kita biarpun kita tahu sebenarnya kita kalah dalam "perlawanan" yang membangkitkan kemarahan itu.

Mukmin yang berjaya
Untuk menjadi mukmin berjaya kita dianjurkan supaya menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Namun, adakalanya kerana terlalu menjaga hubungan dengan manuisa kita membelakangi hubungan dengan Allah swt. Umpamanya dalam soal aurat dengan ahli keluarga besar, kita cenderung untuk meletakkan hubungan dengan manusia mengatasi hubungan dengan Allah swt. Dengan sepupu pun kita dedahkan aurat, malah dalam keadaan tertentu kita bersalam dengan mereka yang sah bukan muhrim. Kita terasa amat berat untuk melakukan perubahan kerana ianya telah sebati dengan cara hidup kita. Jadi, pendekatan berhikmah amat perlu dalam melakukan perubahan umpamanya dengan mengadakan perkumpulan keluarga yang bukan sekadar dipenuhi dengan aktiviti kenduri tetapi ada elemen keilmuan umpamanya aktiviti usrah yang kita adakan ini. Adalah lebih berkesan juga untuk menjemput alim ulama atau ustaz untuk menyampaikan sedikit tazkirah sebagai kaedah memberi ilmu kepada ahli keluarga dalam membuat perubahan positif ini. Satu elemen penting dalam melakukan perubahan ialah "organized change" umpamanya dengan mencari ahli-ahli keluarga yang menyokong gerakan perubahan budaya ini. Yang utama juga ialah kita tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi pada perubahan dan juga kita tidak boleh mengharapkan perubahan drastik. Perubahan memerlukan masa kerana perubahan yang kekal bermula dari kesedaran dalam diri ekoran daripada hidayah Allah swt.

Mengumpat (al-ghibah)
Kita amat ditegah untuk mendedahkan keaiban orang lain. Istilah bahasa Arab ialah al-ghibah atau istilah budaya Melayu ialah mengumpat. Banyak polemik ditimbulkan dalam mengkonsepsikan mengumpat. Namun sebenarnya kita tahu mana yang dikategorikan sebagai mengumpat dan mana satu yang kita boleh kategorikan sebagai satu bentuk penyampaian amaran dan pengajaran. Umpamanya adakah mendedahkan akhlak seseorang yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin dikategorikan sebagai mengumpat atau memfitnah? Atau adakah ianya dibolehkan demi kebenaran untuk kemaslahatan ummah? Adakah mengajar subjek sejarah (yang melibatkan individu tertentu) itu juga sebagai mengumpat? Bagaimana pula dengan kisah-kisah zaman nabi s.a.w. yang mendedahkan tentang keburukan akhlak seseorang? Adakah ianya mengumpat? Persoalan ini ditimbulkan agar kita sendiri menjawabnya untuk membuat definisi tentang mengumpat secara logik. Hakikatnya, kita sebenarnya tahu menilai apakah yang dikatakan mengumpat dan apakah yang bukan dikategorikan sebagai mengumpat.
Artikel ini ditulis berdasarkan perbincangan informal ahli KMD dan refleksi penulis. Ia bukan kenyataan rasmi KMD dan juga tidak mewakili pendirian KMD. Sebarang komen membetulkannya adalah dialu-alukan.

No comments: