Wednesday, December 1, 2010

Dundee diselimuti salji tebal


Salji mula bermukim di bumi Dundee semenjak 27 Nov 2010 sehingga ke tarikh ini. Lazimnya November masih lagi dikategorikan sebagai musim Luruh (Autumn), tetapi ilmu manusia tak dapat menjangkau ketentuan Ilahi. Ramai yang tidak bersedia dengan keadaan sekarang. Ia dapat dilihat apabila tong-tong garam tidak disediakan pihak berwajib. Sistem pengangkutan mula menerima kesan negatif apabila banyak jalan tidak dapat diakses. Pengangkutan awam juga terhad. Universiti dan sekolah-sekolah di Dundee ditutup. Banyak program terpaksa dibatalkan. Setiap pagi, pihak berwajib mengumumkan status operasi menerusi media elektronik terutama internet dan juga Radio Tay.fm. Antara kerisauan lain termasuklah bekalan makanan apabila beberapa stor menunjukkan kehabisan stok makanan. Ia mungkin berkaitan dengan sistem pengangkutan seluruh UK yang kian menerima kesan negatif ekoran cuaca sebegini. Semoga segala-galanya akan dapat diatasi. Inilah antara bukti kekuasaan Allah swt.