Sunday, January 31, 2010

Bicara kita

oleh Mohd Mahzan Awang
(Tiga artikel berikut berasaskan pertemuan warga KMD pada usrah Muslimin di rumah penulis pada 30 Januari 2010)

Ayatul-ahkam
Perbincangan dipimpin oleh Ustaz Dr. Aminurasyid Yatiban
Surah al-Baqarah memuatkan ayatul ahkam - iaitu ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum-hakam. Ayat 172 - 173 dalam surah ini ditujukan kepada orang yang beriman agar mematuhi larangan Allah swt terhadap beberapa perkara berkaitan dengan halal-haram makanan. Pendekatan yang Allah swt gunakan ialah dengan menyatakan perkara positif dahulu sebelum menyatakan larangan. Pendekatan ini digunakan secara common dalam sesi kaunseling dan pedagogi. Puji dulu kemudian baru tegur. Balik kepada ayat al-Quran dalam surah ini, Allah swt menjelaskan perkara yang dihalalkan dahulu sebelum perkara-perkara yang diharamkan. Frasa "innama ..." dalam al-Quran memberitahu kita bahawa Allah swt akan memperincikan secara spesifik perkara-perkara tertentu. Dalam ayat ini, perkara yang dibuat specify ialah haram memakan bangkai, addhari (darah) dan khinzir. Namun masih ada kelonggaran dalam keadaan darurat yang mana makan diperlukan untuk hidup. Umpamanya apabila manusia terperangkan dalam runtuhan yang ketiadaan sumber untuk memastikan kelangsungan hidup, perkara yang diharamkan adalah dibolehkan. Hanya kita yang tahu sejauhmana makan perkara yang bolehkan itu untuk hidup atau untuk memenuhi nafsu makan.

Dalam isu halal dan haram makanan terutamanya khinzir, hujah logik yang diberikan oleh umat Islam ialah bersangkutan dengan ketidaksesuaian daging itu untuk kesihatan. Namun, ia bukanlah hujah yang boleh dijadikan sebab kenapa kita tidak memakannya. Kerana yang paling utama bagi umat Islam ialah PATUH kepada segala arahan Allah swt. Pembuktian saintifik untuk yakin dan patuh pada arahan Allah swt adalah satu pendekatan yang amat-amat tidak wajar. Kita memang digalakkan untuk menganalisis kenapa Allah swt memerintahkan sesuatu perkara namun langkah pertama yang mesti ada dalam hati ialah YAKIN dengan arahan Allah swt itu, kemudiannya terus AMALKAN tanpa banyak bicara. Kemudian untuk kaji tentang perkara itu boleh diteruskan.

Toyyib - Hadis 10 susunan Imam Nawawi
Perbincangan dipimpin oleh Sdr. Zahiruddin
Amnya hadis ini membincangkan tentang perpektif Islam terhadap keluhuran, kesucian, kebersihan dalaman dan luaran. Allah swt memang cintakan dan sukakan kebersihan, lahiriah dan batiniah. Fokus hadis ini ialah dalam bab mencari rezeki yang halal demi keberkatan Allah swt. Juga mengisahkan adab berdoa yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad saw - umpamanya dengan menadah tangan serta mengangkatnya ke langit sambil berdoa sepenuh hati. Renungan yang dapat diambil adalah:

"Sejauhmana Allah swt dapat memakbulkan doa umat Islam yang mana dia membesar dengan sumber yang haram?

Dengan daging-daging dan tulang-tulang yang terbina daripada hasil yang "kotor" (rasuah, menipu dan sebagainya), sejauhmana Allah swt dapat menerima doa seseorang mukmin? Bagaimana Allah swt dapat memberi keberkatan hidup kepada orang yang sebegini. Kita sebenarnya lebih melihat soal hasil yang "kotor" ini dengan melihat kes-kes yang dipaparkan di media. Bagaimana pula dengan kita yang juga ada ruang untuk melakukan dosa umpamanya "membuat adjustment tentang claim, tuntutan perjalanan, menipu - membesar-besarkan cerita yang tak ada dan sebagainya".
Biarlah bulan bicara sendiri ...
"Maafkanlah dia, nabi pun maafkan umatnya," nasihat Azlan kepada Farouq.
"Itu nabi, memang macam itu. Dia maksum!" tegas Farouq yang marah dengan kekasihnya kerana mengahwini lelaki lain pada saat Farouq di tahun akhir pengajian di Dundee.
"Nabi pun manusia juga," jelas Azlan lagi.
"Aku tahu itu semua, tapi nabi lain, aku lain. Aku hanya manusia biasa saja. Tak boleh nak samakan nabi dengan kita!" Farouq bertegas. Farouq masih geram dan berdendam dengan Liz. Azlan menghampiri Farouq seraya berkata "Jom, aku belanja kau minum. Kita pergi ke library cafe".
Farouq terdiam. Akur. Dia menutup buku tulisan Anthony Giddens dan berjalan ke cafe. Seharian dia tak dapat fokus pada pengajiannya. Liz meninggalkan dia tanpa alasan yang kukuh.
"Begini Farouq. Aku ingin ceritakan tentang nabi kita Muhammad saw," Azlan memulakan bicara.
"Engkau masih tak dapat menerima yang kita berlainan dengan nabi," ujar Faroiq sambil mengacau Coffee Latte.
Azlan tersenyum sambil menuangkan tiga paket gula ke dalam cawan kopinya.Tidak ramai pelajar di perpustakaan Dundee. Suasana agak tenang kerana hari melewati senja.
"Sebenarnya Farouq, aku kata yang nabi Muhammad saw adalah manusia biasa kerana baginda juga tidak pasti tentang hari esok. Baginda kerap berdoa memohon keampunan Allah swt. Kalau baginda amat berkuasa dan 100% yakin dengan apa juga yang baginda lakukan kenapa baginda perlu bersusah-payah mengatur strategi dalam kehidupan seharian. Baginda juga mengadakan mesyuarat untuk mendapatkan keputusan terbaik. Malah, baginda sering berdoa, mengerjakan ibadat dan bersolat kerana baginda sendiri pun tidak tahu tentang hari esok. Baginda tak tahu sejauhmana perancangan Allah swt umat Islam. Baginda bukan penentu masa depan. Allah swt yang menentukan qadha dan qadha. Memang nabi Muhammad saw itu maksum tetapi baginda juga ada perasaan macam manusia biasa. Baginda berkahwin. Baginda juga ada anak, ada isteri ada keluarga. Baginda tak mampu untuk mengubah hati Abu Lahab agar memeluk Islam. Abu Lahab adalah antara bapa saudaranya yang paling disayangi. Soal rahmat adalah ketentuan Allah swt. Kita tak tahu. Sebab itu apabila dalam peperangan umpamanya, bagida sering membuat perbincangan, strategi dan sebagainya. Baginda tidak berserah tanpa usaha. Jadi kalau nabi Muhammad saw pun boleh bersabar dan maafkan kesalah orang lain kenapa kita tak boleh," hurai Azlan dengan lanjut. Riak wajah Farouq berubah. Matanya tepat melihat ke cawannya. Matanya tetap berkaca. Hatinya remuk dan masih merindui Liz. Hari ini tiada bayangan Liz di perpustakaan. Lazimnya Liz kerap ke perpustakaan terutama pada saat exam kian hampir.
"Tapi nabi kental semangat, jiwanya ..."
"Engkau tahu kenapa jiwanya begitu?"
"Entah .."
"Nabi Muhammad saw hampir dengan Allah swt. Dia cintakan Allah swt. Apabila kita cintakan seseorang umpamanya, kita akan rasa seronok menghampirinya dan gembira melakukan apa yang disukainya serta menjauhkan apa yang dia tak suka," hurai Azlan lanjut.
"Aku ini, entahlah ..." suara Farouq tersekat-sekat menahan sebak.
"Hadis sahih meriwatkan nabi Muhammad saw mengisahkan bagaimana nabi yang terdahulu ditimpa azab Allah swt kerana nabi tersebut berasa ujub dengan para sahabat dan pengikutnya. Nabi tersebut dikatakan telah menyatakan betapa hebatnya para pengikutnya sehingga lupa yang kehebatakan itu adalah kerana rahmat Allah swt. Justeru Allah sw memberi 3 pilihan kepada nabi tersebut. Pilihan pertama, kalah dalam perang; kedua azab kebuluran; ketiga mati. Maka tidak sanggup dengan dua pilihan pertama, akhirnya mereka diambil nyawa; 70,000 mati, bukan setepat angka ini tapi nak menggambarkan betapa ramai yang mati. Ini memberitahu bahawa nabi pun manusia biasa yang ada perasaan, emosi, rasa gerun, bimbang, cinta dan sayang,"
Farouq termenung seketika. Terdetik seketika yang dia terlalu mengikut kata hati. Biarpun Liz memeluk Islam pada asalnya disebabkan dakwah dan turur bicara Farouq tetapi jodohnya tiada. Farouq jugalah yang berusaha menemukan Liz dengan kumpulan wanita Muslim di masjid Dundee. Malah, komuniti Melayu Dundee juga turut membantu. Mungkin itu takdir Ilahi yang terbaik buat Liz. Liz memilih lamaran sahabat karibnya dari Jerman sebagai teman hidup. Salji turun mencurah bersama linangan air mata seorang lelaki.
(Cerpen ini hanyalah kreativiti penulis)

Artikel-artikel ini bukan kenyataan rasmi KMD. Ia dioleh oleh penulis berdasarkan perbincangan informal warga KMD serta kreativiti penulis.

Friday, January 22, 2010

Al-Fatihah

Bismillahirrahmanirrahim,

Kepulangan bonda ustazah Fatimah semalam (jam 4 pagi waktu Malaysia 21 Januari 2010) menguji ketabahan beliau sekeluarga yang jauh di perantauan. Semalam, solat jenazah ghaib, bacaan surah Yaasin dan tahlil diadakan di rumah ustazah Fatimah. Aktiviti ibadat sebegini merupakan budaya masyarakat Melayu Dundee. Semoga kehadiran sahabat-sahabat dalam majlis semalam diberkati Allah swt serta memberi semangat kepada ahli keluarga ustazah Fatimah untuk menerima kenyataan ini. Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, beberapa warga Melayu Dundee menerima berita kepulangan orang tersayang di tanahair. Antara mereka yang menerima berita sedemikian ialah saudara Zahiruddin (ayahanda pulang ke Rahmatullah), abang Tarmidi (kehilangan bapa saudara), saudara Mahadi (pemergian nenda), Vivi (kehilangan ayahanda), Shahrul (pemergian ayahanda), saudari Amir (ayah mentua pulang ke Rahmatullah), Abang Azmi (kehilangan kekanda - abang) dan Kak Maziah (pemergian kekanda). Ia menyedarkan kita sekali lagi bahawa kehidupan ini adalah fana. Yang telah pergi takkan kembali lagi. Al-fatihah untuk mereka yang telah pergi meninggalkan kita di alam fana ini. Moga Allah swt memberi hidayah dan taufik kepada kehidupan kita semua. Al-Fatihah ...

Monday, January 18, 2010

Hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia

oleh Mohd Mahzan Awang (Biro Penerangan dan Informasi KMD)

Usrah warga KMD secara gabungan dilakukan di rumah saudara Zahir pada 16 Januari 2010. Usrah yang dilakukan selang 2 minggu ini merupakan budaya KMD. Ia menyatukan warga KMD menerusi tradisi keilmuan. Lazimnya, usrah dimulakan dengan bacaan al-Quran, diikuti dengan tafsiran al-Quran dan al-Hadis, kemudian disusuli dengan perbincangan isu semasa. Adakalanya solat hajat dilakukan bagi memohon rahmat Allah swt terhadap apa jua isu yang didepani.

Ibadat dalam Islam
Ayat 157 - 167 dari surah al-Baqarah dikupas. Ayat ini adalah berkaitan dengan ibadah haji yang melibatkan sa'i antara bukit Safa dan Marwah. Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa ibadah khusus tidak boleh direka-reka atau dicipta sendiri. Kesemua ibadah khusus dalam Islam adalah bersandar kepada dalil dan nas yang jelas dari al-Quran dan al-Hadis. Maka, bagi golongan anti Hadis, satu hujah balas yang logik ialah sebagaimana berikut:
"Al-Quran mengarahkan umat Islam mendirikan solat tetapi tidak memperincikan bagaimana untuk mengerjakannya. Kepada anti-Hadis, soalan yang boleh menyedarkan mereka ialah dengan meminta mereka mengerjakan solat tanpa panduan al-Hadis. Bagaimana nak mengerjakan solat tanpa berpandukan kepada al-Hadis juga".

Kawalan emosi dalam Islam
Menerusi ayat 41 - 45, surah al-Baqarah, Allah swt menjelaskan kaedah untuk berdepan dengan masalah yang membangkitkan rasa marah. Maka, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan beristighafar. Istighafar memohon keampunan Ilahi. Ini adalah kerana kemungkinan besar masalah yang kita hadapi adalah salah satu kifarah terhadap dosa-dosa kita. Kemudian, kita diminta mengambil wudhu' dan mendirikan solat. Secara psikologi, marah tidak membabitkan masa yang lama. Marah lazimnya hanya sekitar 5 minit saja, selebihnya adalah ego, imej, maruah dan segala bentuk penyakit hati yang membuatkan kita keras hati dan berdegil dengan pendirian kita biarpun kita tahu sebenarnya kita kalah dalam "perlawanan" yang membangkitkan kemarahan itu.

Mukmin yang berjaya
Untuk menjadi mukmin berjaya kita dianjurkan supaya menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Namun, adakalanya kerana terlalu menjaga hubungan dengan manuisa kita membelakangi hubungan dengan Allah swt. Umpamanya dalam soal aurat dengan ahli keluarga besar, kita cenderung untuk meletakkan hubungan dengan manusia mengatasi hubungan dengan Allah swt. Dengan sepupu pun kita dedahkan aurat, malah dalam keadaan tertentu kita bersalam dengan mereka yang sah bukan muhrim. Kita terasa amat berat untuk melakukan perubahan kerana ianya telah sebati dengan cara hidup kita. Jadi, pendekatan berhikmah amat perlu dalam melakukan perubahan umpamanya dengan mengadakan perkumpulan keluarga yang bukan sekadar dipenuhi dengan aktiviti kenduri tetapi ada elemen keilmuan umpamanya aktiviti usrah yang kita adakan ini. Adalah lebih berkesan juga untuk menjemput alim ulama atau ustaz untuk menyampaikan sedikit tazkirah sebagai kaedah memberi ilmu kepada ahli keluarga dalam membuat perubahan positif ini. Satu elemen penting dalam melakukan perubahan ialah "organized change" umpamanya dengan mencari ahli-ahli keluarga yang menyokong gerakan perubahan budaya ini. Yang utama juga ialah kita tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi pada perubahan dan juga kita tidak boleh mengharapkan perubahan drastik. Perubahan memerlukan masa kerana perubahan yang kekal bermula dari kesedaran dalam diri ekoran daripada hidayah Allah swt.

Mengumpat (al-ghibah)
Kita amat ditegah untuk mendedahkan keaiban orang lain. Istilah bahasa Arab ialah al-ghibah atau istilah budaya Melayu ialah mengumpat. Banyak polemik ditimbulkan dalam mengkonsepsikan mengumpat. Namun sebenarnya kita tahu mana yang dikategorikan sebagai mengumpat dan mana satu yang kita boleh kategorikan sebagai satu bentuk penyampaian amaran dan pengajaran. Umpamanya adakah mendedahkan akhlak seseorang yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin dikategorikan sebagai mengumpat atau memfitnah? Atau adakah ianya dibolehkan demi kebenaran untuk kemaslahatan ummah? Adakah mengajar subjek sejarah (yang melibatkan individu tertentu) itu juga sebagai mengumpat? Bagaimana pula dengan kisah-kisah zaman nabi s.a.w. yang mendedahkan tentang keburukan akhlak seseorang? Adakah ianya mengumpat? Persoalan ini ditimbulkan agar kita sendiri menjawabnya untuk membuat definisi tentang mengumpat secara logik. Hakikatnya, kita sebenarnya tahu menilai apakah yang dikatakan mengumpat dan apakah yang bukan dikategorikan sebagai mengumpat.
Artikel ini ditulis berdasarkan perbincangan informal ahli KMD dan refleksi penulis. Ia bukan kenyataan rasmi KMD dan juga tidak mewakili pendirian KMD. Sebarang komen membetulkannya adalah dialu-alukan.

Wednesday, January 13, 2010

Exco KMD (Komuniti Melayu Dundee) 2010

Pada 5 Disember 2009, pemilihan exco KMD 2010 telah dilangsungkan di Taymill Common Room. Program ini dijayakan serentak dengan Mesyuarat Agung 2009 serta sambutan Aidil Adha. Saudara Tarmidi Sailan (berdiri paling kanan) diberi amanah mengurus program gabungan ini.
Majlis ini diserikan dengan nasyid dan takbir idul Adha oleh si comel dan si cilik (gambar di atas adalah sebahagian daripada mereka) di bawah bimbingan Ustazah Fatimah Azzahra.
Ustaz Dr. Aminurasyid Yatiban (berbaju Melayu lengkap) merupakan Penghulu KMD bagi sesi 2009. Beliau telah menyampaikan latarbelakang KMD yang mana ia bermula dengan kesedaran beberapa pelajar Melayu beberapa tahun lalu tentang pentingnya ada gabungan Melayu di Dundee ini. Dengan adanya KMD, ukhuwah lebih mudah diuruskan dan juga membolehkan usaha bantu-bantu dalam pelbagai urusan di luar negara.

Pemilihan Exco KMD 2010
Pada pemilihan exco KMD 2010, saudara Taufik Alias (duduk - tiga dari kanan) menang tanpa bertanding bagi jawatan Penghulu. Rentetan daripada pemilihan ini, satu mesyuarat telah dilakukan pada 9 Januari 2010 untuk penetapan exco KMD 2010. Senarai penuh adalah seperti berikut:
Majlis Tertinggi
Penghulu : Mohd Taufik Alias
Timbalan Penghulu: Mohd Mahadi Halim
Setiausaha: Zahiruddin Fitri Abu Hassan
Bendahari: Norazmi Mohd Adnan
Ketua wanita : Zulaikha Berahim
Biro-biro
Ketua Biro Sukan dan Rekreasi: Khamsah Suryati Mohd
Ketua Biro Kebajikan dan Penempatan: Zulkifli Ahmad Seman
Ketua Biro Wanita dan Kanak-kanak: Zulaikha Berahim
Ketua Biro Bina Insan: Nour Izaquan bin Baharuddin
Ketua Biro Tugas-tugas Khas: Wan Mohd Rauhan Wan Hussin
Ketua Biro Informasi dan Penerangan: Mohd Mahzan bin Awang

Selamat menjalankan tugas!

Tuesday, January 12, 2010

Panduan Pelajar Baru di Scotland

Panduan Pelajar Baru di Scotland

Pendahuluan
Panduan ini ditujukan kepada pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di Scotland khususnya Dundee serta keseluruhan Scotland dan England amnya. Ini adalah oleh kerana ada beberapa perbezaan dalam sesetengah prosedur dan tatacara di kedua-dua tempat walaupun disebut sebagai UK secara umum. Dimana ada perbezaan, akan diterangkan secara ringkas perbandingan antara Scotland dan England.
Panduan ini juga dimulakan dari selepas visa dan keberangkatan adalah imminent. Perkara-perkara seperti cara permohonan visa dan panduan memilih universiti dan penyelia (sekiranya PhD) adalah diluar skop panduan ini. Persatuan Melayu Aberdeen telah menerbitkan panduan yang agak lengkap beserta checklist perkara-perkara yang perlu dibawa ketika berangkat ke UK. Ianya boleh dirujuk melalui capaian ini (http://melayu-aberdeen.com/pelajar-baru/).

Barang yg perlu dibawa (selain perkara-perkara dalam checklist diatas).
Secara umumnya harga barangan terutama barang bersifat elektrikal adalah lebih mahal di UK oleh kerana adanya VAT (value added tax) yang dikenakan keatas hampir kesemua barangan dan perkhidmatan di UK sebanyak 17.5%. Kalau suka makan nasi, dinasihatkan untuk bawa periuk nasi dari Malaysia. Di UK harganya mahal (kerana demand kurang) dan pilihan yang terhad. Beras boleh didapati dimana-mana kedai Pakistan ataupun supermarket.
Baju sejuk tidak perlu beli banyak-banyak di Malaysia. Memadai dengan sehelai. Strategi yang baik untuk mengelakkan kesejukan sebenarnya ialah dengan memakai baju dengan banyak lapis (sekurangnya 3 lapisan) dengan baju luar atau jaket sederhana tebal. Ini akan mengurangkan kehilangan haba dengan lebih baik berbanding memakai sehelai baju tebal.
Oleh kerana VAT juga, perkakasan komputer adalah lebih murah di Malaysia. Bawalah laptop atau thumbdrive dari Malaysia. Seringkali juga antara perkakasan yang dibawa ialah ‘hard disk’ dan CD/DVD kosong.
Bekenaan barangan makanan pula, yang paling susah dan mahal berdasar pada pengalaman ialah ikan bilis dan cili kering. Kalau boleh bawalah dari Malaysia stok yang agak banyak.


Perkara yang perlu dibeli disini.
Duvet diperlukan untuk tidur dengan selesa. Ianya dikelaskan mengikut 'Tog' antara 4.5 untuk diguna semasa musim panas dan 12 untuk kegunaan musim sejuk. Panduan untuk membeli duvet boleh didapati di capaian ini. Periuk belanga boleh dibeli dengan murah, carilah starter pack yang biasanya lengkap dengan perlatan memasak asas. Selipar dalam rumah (jenis berbulu) amat berguna untuk mengelakkan kesejukan. Baju sejuk tambahan boleh dibeli di charity shop atau car boot sale. Harganya jauh lebih murah dari membeli baju sejuk di Malaysia.

Rumah sewa
Kebiasaaannya warga Malaysia yang berada di tempat anda akan menyambung pengajian sentiasa bersedia untuk menolong mencari rumah atau flat untuk diduduki. Perkara yang perlu diberitahu kepada mereka ialah bilangan ahli keluarga serta umur, keutamaan lokasi – dekat dengan sekolah/hospital, universiti dsb – dan juga bilangan bilik tidur. Boleh juga dimaklumkan kadar sewa yang mampu dibayar mengikut keperluan yang diberikan sebelumnya. Walaubagaimanapun kadar sewa adalah berbeza-beza mengikut tempat walaupun dalam satu bandar yang sama. Sebaiknya serahkan kepada mereka yang mencari rumah mengikut keperluan yang diberi dan budget sewa yang boleh dibayar berdasarkan maklumbalas dari pencari rumah. Secara umumnya rumah yang jauh dari pusat bandar adalah lebih murah sewanya.
Terdapat dua jenis rumah yg boleh disewa dan ada ‘pro and cons’ antara keduanya. Satu ialah rumah yang diuruskan oleh ‘letting agent’. Rumah-rumah ini biasanya dijaga dan disenggara dengan baik. Kontrak sewa juga jelas dan bertulis. Kekurangannya ialah kadangkala agak susah diperolehi oleh orang yang baru pertama kali datang ke UK kerana memerlukan kepada akaun bank tempatan dan juga deposit yang biasanya sebulan sewa + bayaran sewa bulan pertama sekaligus. Kedua ialah rumah yang diuruskan secara persendirian (private landlord). Rumah ini lebih mudah diperolehi tetapi kadangkala bermasalah disebabkan kadangkala tiada perjanjian bertulis dan kadangkala susah untuk meminta tuan rumah untuk membaiki kerosakan.
Tanyalah kepada mereka yang tinggal di bakal tempat belajar anda untuk kepastian dan juga yang mana anda lebih suka. Sebenarnya walaupun sering diperkatakan, tiada perbezaan ketara antara sewa kedua-duanya.
Apabila anda masuk rumah, perkara yang perlu ketahui ialah pertama, bilik air di UK adalah bilik air kering. Ini bermakna lantai bilik air tidak boleh dibasahkan. Kadangkala ada rumah yang bilik airnya siap berkarpet. Struktur lantai rumah adalah daripada kayu dan kalau basah kayu akan reput dan rosak. Ada diceritakan bahawa lantai bilik air yang disewa oleh warga Malaysia pernah jatuh ke rumah tingkat bawah akibat dari masalah kayu basah dan reput kerana tidak menjaga aspek ini.
Perkara kedua adalah khusus untuk orang Islam. Oven, fridge dan juga lantai dan pinggan mangkuk yang disediakan oleh tuan rumah tidak perlu disamak walaupun tuan rumah bukan beragama Islam. Ini adalah berdasarkan kepada asas hukum fekah yang menjelaskan jatuh hukum itu atas sesuatu yang zahir. Misalnya kalau dalam oven itu kita nampak seketul daging yang memang tidak diragui daging yang haram dimakan maka wajiblah samak tempat yang terletaknya daging tersebut. Kalau setakat bulu binatang diatas lantai (biasanya orang tempatan membela anjing didalam rumah), vakum sahaja adalah memadai kerana bulu anjing jika kering tidak perlu disamak. Pinggan mangkuk tidak perlu disamak berdasarkan kaedah yang sama.
Sebagai pelajar, ‘council tax’ yang dikenakan keatas setiap rumah tidak perlu dibayar. Seberapa segera selepas sampai dan dapat rumah, kita perlu melaporkan kepada ‘City Council’ alamat kita dan sejak bila kita duduk disitu. Ini adalah untuk mengemaskini rekod dan mendapatkan pengecualian dari cukai tersebut yang mahal. Di Scotland air dan pembetungan adalah termasuk didalam council tax, oleh itu kelebihan disini sebagai pelajar, bil air dan pembetungan adalah percuma. Di England, bil air dan pembetungan diasingkan dari council tax dan perlu dibayar walaupun sebagai pelajar.
Ketiga, penggunaan heater. Terdapat dua jenis heater yang digunakan iaitu gas dan elektrik. Pastikan anda mempelajari cara yang betul menggunakan kedua-dua jenis heater ini sebaik sahaja masuk ke rumah. Pelajari cara untuk set timer, control temperature, control heating dan hot water dan reset heater bagi heater jenis gas boiler. Bagi heater elektrik, pastikan jenis storage heater yang digunakan kerana terdapat banyak variasi yang tidak dapat diterangkan di dalam panduan ini. Untuk menjimatkan penggunaan tenaga, waktu tidur heater tidak perlu dipasang. Memadai dengan menggunakan duvet. Bed warmer juga tidak perlu sebenarnya. Duvet yang baik berupaya memerangkap haba yang dihasilkan oleh badan untuk tidak kesejukan ketika tidur. Set timer untuk off heater kira-kira setengah jam sebelum tidur dan on semula setengah jam sebelum bangun.
Bagi warga baru yang memasuki rumah baru jangan lupa mengambil bacaan meter bagi elektrik dan gas. Ini adalah untuk tujuan pendaftaran dengan syarikat utiliti dan sebagai sebagai rekod bacaan pertama bil anda.

Memulakan kehidupan di perantauan
Pakej bundle lengkap dengan telefon rumah, TV dan internet boleh didapati daripada samada Virginmedia, Sky ataupun BT. Harga pakej berubah-ubah mengikut apa yang dilanggan. Selain dari itu siaran TV boleh didapatkan secara percuma melalui freeview atau freesat.
Selain daripada menggunakan VOIP seperti Skype atau Yahoo, kita boleh menghubungi Malaysia menggunakan handphone dengan kos yang rendah dengan membeli Pay As You Go pack (di Malaysia kita guna istilah prepaid) LEBARA dengan kos £10 = Sim card pack £5 dan reload £5. Panggilan ke Malaysia £0.03 seminit. Dapatkannya di Tesco atau kedai-kedai runcit seperti news agent dan sebagainya. Pakej VOIP menggunakan dialling code juga boleh digunakan dengan handphone dan menggunakan free minutes untuk pakej bil bulanan. Antara yang murah ialah voipdiscount dan voipstunt.

Ibadah
Waktu solat di UK berubah-ubah dengan ketara mengikut musim. Sebagai contoh waktu Magrib masuk kira-kira jam 3.40pm dikemuncak musim sejuk semasa winter solstice dan masuk kira-kira jam 9.30pm dikemuncak musim panas semasa summer solstice. Dapatkan jadual waktu solat dari masjid terdekat. Laman web Islamic finder yang selalu digunakan didapati bermasalah dan waktu solat yang dikeluarkannya telah didapati tidak tepat. Sumber lain untuk mendapatkan waktu solat ialah di moonsighting.com.
Kemudahan semasa musim panas & sejuk.
Pada musim panas solat magrib dan isya serta solat zuhur dan asar pada musim sejuk boleh di jama’. Fatwa ini dikeluarkan secara rasmi oleh European Council for Fatwa and Research dan boleh dimuat turun dari website tersebut. Wudu' juga boleh menggunakan setokin dimana perlu. Sila rujuk dengan ustaz dikawasan sekitar untuk panduan.

NHS (National Health Service)
Setiap ahli keluarga perlu didaftarkan dengan GP (general practitioner). Semasa mendaftar minta borang HC2 untuk mendapat pengecualian bayaran untuk mendapatkan ubat. Untuk berjumpa dengan doktor, perlu ada temujanji. Sistem NHS di Scotland adalah lebih baik sedikit berbanding di England. Ini adalah kerana di Scotland kita boleh mendapatkan temujanji dengan doktor pada hari yang sama atau sehari selepas kita telefon manakala di England temujanji hanya boleh didapatkan untuk minggu hadapannya. Untuk demam dan sakit-sakit biasa biasanya doktor tidak akan layan sangat. Di Scotland, untuk tujuan ini ada skim ‘Minor Ailment Service’ dimana kita boleh mendapatkan ubat terus di farmasi secara percuma tanpa bertemu doktor. Di England tiada skim yang sebegini. Selepas kita mendaftar dengan GP, carilah farmasi yang berdekatan dengan rumah dan mohon untuk berdaftar untuk skim ‘Minor Ailment Service’ dan minta buku panduan cara-cara menggunakan skim ini.

Kereta
Bagi yang mempunyai ahli keluarga, kereta boleh dibeli dengan harga yang agak murah bagi model yang berusia sekitar 10 tahun. Perlu diingatkan lesen Malaysia hanya boleh diguna pakai selama setahun bermula dengan tarikh sampai di UK. Walau selama mana kita balik ke Malaysia sepanjang tempoh pengajian lesen tidak reset seperti yang dikatakan sesetengah orang. Jika berkereta di UK, harap jangan memandu seperti di Malaysia. Ini kerana untuk mengelakkan dari orang-orang Malaysia lain di 'target' oleh pihak berkuasa disini. Dapatkan salinan highway code dan pelajari undang-undang jalanraya. Warga UK amnya amat prihatin dengan aspek keselamatan. Mereka tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada polis jika merasakan cara pemanduan anda tidak selamat.
Sebelum membeli kereta di UK, pembeli perlu mengetahui tentang anggaran kos yang bakal dikeluarkan iaitu harga kereta, insurans kereta dan kos-kos lain seperti Road Tax dan MOT. Sebagai contoh: Jika kita mempunyai budget sebanyak £1000 untuk membeli kereta, kos insurans biasanya dalam sekiar £300 – 400, kos R/Tax dalam sekitar £100 (6 bulan). Oleh yang demikian kita hanya boleh membeli kereta dengan harga dalam sekitar £600 ke bawah.

Berikut diterangkan prosedur biasa yang diamalkan oleh KMD untuk urusan menyambut warga baru:-

HARI PERTAMA

Kedatangan warga baru (terutamanya keluarga baru) ke Dundee dari Glasgow ataupun Edinburgh dijemput oleh Airport Transfer jika diuruskan oleh pihak KMD. Bayaran perlu dibuat secara tunai oleh individu yang datang dan dibayar terus kepada pemandu. Harga bergantung kepada lokasi Airport ke Dundee. Anggaran harga untuk satu trip penghantaran setakat panduan ini dikeluarkan adalah seperti berikut:
· Airport Glasgow ke Dundee - £90
· Airport Edinburgh ke Dundee - £75

Manakala warga baru yang sampai ke Dundee melalui Airport atau Train Station Dundee akan dijemput oleh warga Dundee yang berkelapangan.

Bagi warga baru yang memasuki rumah baru jangan lupa mengambil bacaan meter bagi elektrik dan gas.

Bagi warga baru yang masih mencari rumah, laman web di bawah mungkin membantu:
1. Search engine letting agent:
· http://www.lettingweb.com/
· http://www.propertyfinder.com/
2. Letting agents:
· http://www.rossclarelettings.com/index.php
· http://www.hamishrobbielettings.co.uk/
· http://www.shepherdletting.com/
· http://www.belvoirlettings.com/
· http://www.scottishpropertymanagement.co.uk/

Warga baru dinasihatkan berehat bagi menghilangkan jet lag setelah lebih 13 jam perjalanan dari Malaysia. Kebiasaannya warga baru akan diraikan oleh warga KMD yang berkelapangan. Petua untuk menghilangkan jet lag ialah berusaha untuk tidur dan jaga mengikut waktu tempatan walaupun agak susah pada mulanya.

HARI KEDUA

Kebiasaannya warga KMD akan membantu warga baru mencari barang keperluan asas yang diperlukan untuk memulakan kehidupan baru di Dundee ini. Antara keperluan asas yang diperlukan adalah (sebagai panduan):
1. Keperluan Rumah
· Duvet
· Bantal/Sarung Bantal
· Pencuci Pinggan/Pakaian

2. Keperluan Dapur
· Minyak Masak
· Beras
· Gula/Garam/Tepung/Sos

3. Lain-lain
· Talian telefon – Postpaid @ Prepaid
· Talian Internet sementara – Mobile Broadband


PERKARA YANG BIASA DILAKUKAN PADA MINGGU PERTAMA

1. Urusan pendaftaran di Universiti

2. Urusan membuka akaun bank
· Surat pengesahan daripada universiti
· Dokumen perjanjian rumah
· Pasport Antarabangsa

3. Urusan pendaftaran dengan GP
· Surat pengesahan daripada universiti
· Dokumen perjanjian rumah
· Pasport Antarabangsa

4. Urusan pendaftaran di City Council
· Surat pengesahan daripada universiti
· Dokumen perjanjian rumah
· Pasport Antarabangsa

5. Urusan pendaftaran Internet/Brodband di rumah
· Ada pelbagai pilihan bagi urusan ini
· Akaun bank diperlukan bagi urusan ini

6. Urusan pendaftaran lesen TV
· Pendaftaran ini biasanya dilakukan secara on-line di laman web www.tvlicensing.co.uk/
· Akaun bank diperlukan bagi urusan ini

7. Urusan pendaftaran akaun baru utility (elektrik dan gas)
· Urusan ini memerlukan kita mengenalpasti utility provider terlebih dahulu dan urusan biasanya dijalankan melalui telefon.
· Sebagai contoh: Scottish Hydro – tel no 08009120012


MEMBELI KERETA

Antara langkah-langkah yang biasanya dilakukan sebelum membeli kereta di Dundee ini ialah

1. Proses carian
· http://dundee.gumtree.com/
· http://www.autotrader.co.uk/
· Melalui akhbar-akhbar tempatan

2. Proses hubungi dan melihat
· Pastikan dokumen-dokumen yang perlu ada dalam simpanan si penjual seperti geran kereta.
· Dapatkan maklumat MOT dan R/Tax serta dokumen yang berkaitan. Maklumat boleh disahkan dengan memasukkan no pendaftaran di laman web ini http://www.direct.gov.uk/en/Motoring/index.htm
· Periksa enjin dan badan kenderaan (dapatkan nasihat pakar)

3. Beli

LAMAN WEB YANG BIASA DIGUNAKAN

Kehidupan di UK banyak bergantung kepada teknologi internet. Internet merupakan medium terbaik untuk mendapatkan barangan yang kita ingini dengan harga termurah berdasarkan sumber kewangan kita yang terhad.

1. Urusan pembelian insurans kereta
· http://www.moneysupermarket.com/
· http://www.gocompare.com/
· http://www.confused.com/
· www.QuoteZone.co.uk/QuoteZone
· http://www.kelkoo.co.uk/
· http://www.uswitch.com/

2. Urusan pembelian kereta
· http://dundee.gumtree.com/
· http://www.autotrader.co.uk/

3. Uusan pembelian barangan terpakai
· http://dundee.gumtree.com/

4. Urusan pembelian barangan elektrik
· http://www.currys.co.uk/
· http://www.argos.co.uk/
· http://www.comet.co.uk/

5. Urusan pembelian telefon bimbit
· http://www.moneysupermarket.com/
· http://www.gocompare.com/
· http://www.confused.com/
· http://www.mobdeals.com/

6. Urusan pembelian barangan keperluan
· http://www.tesco.co.uk/
· http://www.asda.co.uk/


PAKAIAN

Baju sejuk (dan barangan terpakai lain) boleh dibeli di charity shop atau di car boot sale. Disenaraikan antara charity shop yang ada berdekatan dengan Dundee University:-

1. Perth Road;
· Children First
· British Red Cross
· Shelters

2. City Road;
· Brittle Bone Foundation

3. City centre;
· British Heart Foundation
· British Red Cross
· St. Margarate Hospice

Car boot sale di adakan di Erroll setiap Ahad; kira-kira 8 batu dari Dundee dan di Tayport setiap Sabtu – selang dua minggu kira kira 10 batu dari Dundee pada musim panas.

-Zahiruddin (ed)-,
Januari 2010

XPDC Scottish Highland 2009

Caledonian Canal, Fort Augustus
XPDC Scottish Highland KMD 2009

Seramai 25 orang warga KMD termasuk satu famili dari Melayu Hull telah menyertai Winter Trip anjuran KMD. Para peserta telah menginap di Bearnock Country Centre, Lochness selama 5 hari 4 malam. Perjalanan bermula dari Dundee dan singgah di Rothiemurchus Centre, Aviemore untuk solat dan makan tengahari. Para peserta dapat merasai pengalaman solat di atas salji yang setebal beberapa inci dengan suhu sekitar -5 darjah celcius.

Rothiemurchus Centre, Aviemore

Lawatan di mulakan dengan melawat sekitar Fort William dan Fort Augustus. Antara tempat yang sempat di kunjungi adalah bandar Fort William, Old Inverlochy Castle dan Fort Augustus Canal Gate. Pada hari ketiga, lawatan di teruskan ke Bandaraya Inverness. Di situ para peserta berkesempatan melawat Inverness Castle, Inverness Museum dan Gallery dan juga Victorian Market. Para peserta juga sempat mengunjungi masjid Inverness untuk solat dan makan tengahari.

Pada hari yang berikutnya lawatan di teruskan di sekitar Lochness termasuklah mengunjungi Urquhart Castle dan Lochness Visitor Centre. Para peserta sempat singgah di Tugu Memperingati Komando Perang Dunia di Lochness. Pada hari terakhir, XPDC di teruskan ke Cairngorm Ski Area. Keadaan cuaca amat mencabar dengan keadaan salji yang tebal. Atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat di elakkan, hasrat para peserta untuk mencuba skiing tidak kesampaian. Walaubagaimanapun para peserta sempat juga ber-sledging di Sledge Park, Cairngorm Ski Area. Semua peserta selamat sampai di Dundee (dalam keadaan salji lebat) lebih kurang pukul 6 malam.
Sekitar Bearnock Country Centre, Lochness


Group Photos

Penyelarasan XPDC Scottish Highland 2009

Ketua Penyelaras: Khamsah S Mohd

Logistik: Mahmud Taib
Makanan: Zulkifli Ahmad Seman
Lawatan dan Aktiviti: Norazmi Mohamed
Kanak-kanak: Zulaikha Berahim
Keselamatan: Tarmidi Sailan
Jurugambar: Amirrudin Ahmad
Kesihatan: Rabihah Alwi