Monday, June 29, 2009

Kursus kewangan Islam Anjuran KMD


Ustaz Zaharuddin sedang memberi ceramah tentang kewangan islam

Komuniti Melayu Dundee pada julung-julung kalinya telah menganjurkan Kursus Kewangan Islam pada hari Sabtu, 20 Jun 2009 bertempat di University of Dundee. Kursus yang selama satu hari ini telah disampaikan oleh penceramah yang tidak asing lagi dalam bidang ekonomi Islam, iaitu Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, yang merupakan pelajar PhD dalam bidang Syariah dan Islamic Finance di University of Wales, UK.

Beliau juga merupakan Pengurus Kanan, Shariah Compliance Department, dan Penasihat Shariah Luaran, RHB Islamic Bank Berhad, Konsultan Shariah dan Perbankan Islam, Furqan Islamic Finance Group, Dubai, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beberapa jawatan lagi di dalam dan luar negara.


'Penunggu' kaunter pendaftaran/jualan buku UZAR

Kursus ini telah menarik peserta dari dalam dan luar Dundee, termasuklah dari Aberdeen, Glasgow, Newcastle dan lain-lain tempat di serata UK. Peserta adalah seramai 61 orang dan kanak-kanak telah ditempatkan di nursery bagi mengelakkan gangguan pada perjalanan kursus. Yuran kursus adalah sebanyak £5 sahaja.

Peserta kursus sedang makan tengahari di hadapan Tower Building

Rata - rata peserta amat berpuas hati dengan penyampaian yang menarik dan ilmu yang sangat berguna daripada speaker yang sangat berpengalaman dalam bidang Islamic Finance. Diharap pihak KMD dapat menganjurkan kursus-kursus seperti ini lagi di masa akan datang bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan masyarakat Melayu di UK, khususnya di Dundee itu sendiri.


Ketua Penyelaras: Ust Nizam Hassan

Laporan di sediakan oleh Nurul Asyiqin

Sunday, June 28, 2009

Program Meraikan Pengantin dan Forum Perdana KMD


Bertempat di Dewan Taymills, program majlis meraikan pengantin silang negara (Saudara Hasnuddin dan saudari Hajar) dan usrah gabungan telah diadakan pada hari Sabtu 09 Mei 2009 yang lalu. Hampir semua warga KMD yang tidak berkeuzuran (peperiksaan, bercuti dsbgnya) telah hadir memeriahkan program ini. Program yang dicetuskan oleh penghuluwati kira-kira seminggu sebelum itu telah berjalan dengan sangat meriah dan lancar. Majlis ini menerima tetamu istimewa iaitu saudara Muhammad Salim dan isteri (warga Malaysia yang telah lama menetap di Dundee).
Ahli forum Perdana: Pn Khamsah, Pengerusi Saudara Tarmidi, Ust Ameen dan Saudara Mahzan
Program bermula dengan doa makan yang dibacakan oleh Dr. Che Anwar untuk memastikan keberkatan santapan beramai-ramai bersama pasangan pengantin. Program seterusnya diisi dengan majlis Forum Perdana Dundee dengan tajuk perdana “Isu Dalam Perkahwinan : Amanat Untuk Semua Pengantin” yang menampilkan ahli panel Dr. Penghulu, Pakar kek dan masakan KMD (siapa lagi) dan calon PHD Pendidikan dari UKM – saudara Mahzan, dengan dipengerusikan oleh saudara Tarmidi. Ahli-ahli panel telah mengupas tajuk yang disediakan dan berkongsi pengalaman perkahwinan untuk pengetahuan dan pengajaran bersama.





Warga KMD bergambar dengan pengantin Baru

Majlis diteruskan dengan sesi taaruf bersama pasangan pengantin diikuti dengan sesi penggambaran beramai-ramai. Dr. Penghulu kemudiannya menyampaikan sedikit hadiah bagi pihak warga KMD kepada pengantin yang diraikan.

Kek perkahwinan sumbangan Pn Khamsah

Penyelaras Program: Ust Nizam Hassan

Laporan oleh Ust Nizam Hassan

Thursday, June 25, 2009

Program Usrah Gabungan dan Mawlidurrasul

Alhamdulillah pada 14 Mac yang lalu, bersempena dengan Mawlidurrasul, Komuniti Melayu Dundee telah berjaya mengadakan program yang menggabungkan beberapa aktiviti yang mempertemukan majoriti warganya dalam sebuah majlis yang dinamakan sebagai Program Gabungan MawlidurRasul (PGMR) di Dewan Taymills yang bersejarah. Ia adalah usrah gabungan mawar-mawar suci dan kumbang-kumbang macho dengan pengisian ceramah yang disampaikan oleh saudara Jibril (jemputan khas dari Al-Maktoum) berkaitan pengiktibaran daripada seerah Rasulullah SAW dengan dipengerusikan oleh saudara Mirin Yeah.


Kerana masalah teknikal, penceramah terpaksa menggunakan kotak suara semulajadi tanpa pembesar suara, namun kecekapan Penghuluwati aka Ustazah Ika menyelenggara kuiz untuk kanak-kanak telah berjaya meminimumkan sound-sound effect yang telah diijangka boleh mengganggu kelancaran ceramah.


Program diserikan selepas itu dengan majlis belah mulut dan cukur baby Faiq, cahayamata terkini pasangan saudara Taufik dan Aeni yang dilahirkan di hospital Ninewells lebih kurang seminggu sebelum itu. Keluarga Melayu di Dundee turut meraikan kedatangan warga KMD yang baru tiba dengan sedikit sesi taaruf. Kemudiannya sedikit sesi soal-jawab dan perkembangan terkini program KMD juga diadakan dengan penutupnya ucapan dan ingatan ringkas daripada Penghulu Dr. Aminurrasyid.


Acara kemuncak iaitu kudapan telah menyaksikan hidangan-hidangan hebat yang disediakan secara potluck berjaya dimanfaatkan secara optimum oleh warga Melayu Dundee. Akhirnya, Dewan Taymills dikemaskan bersama-sama secara gotong royong bagi memastikan tiada sebarang kesan degil yang tertinggal yang boleh meng”stress”kan tuan rumah (cikgu Azmi dan keluarga) yang sentiasa pantas menempah penggunaan dewan bagi pihak KMD.
Penyelaras Program: Ustaz Nizam Hassan
Laporan disediakan oleh Ustaz Nizam Hassan