Tuesday, May 18, 2010

Sukaneka & BBQ 2010 (Dundee & St. Andrews)

Seperti ramai yang dah maklum, pada hari sabtu ni kita akan adakan Sukaneka dan BBQ di St Andrews. Penyelaras BBQ bersama-sama exco KMD telah bermesyuarat hari sabtu yang lalu, di ikuti dengan mesyuarat JKKK St Andrews pada hari Ahad. Hasil kedua-dua mesyuarat itu adalah seperti berikut:

Sukaneka dan BBQ St Andrews 2010
Tarikh: 22 Mei 2010
Tempat: West Sand, St Andrews
Masa mula: 2 petang

Sukaneka
Dewasa
a) Lari kaki tiga
b) Junjung buku
c) Bowling padang
c) Pukul bola golf

Kanak-kanak
a) Cari syiling coklat dalam tepung
b) Bawa bola golf dalam sudu
c) Cari Strawberri dalam besen air
d) Passing bola ke belakang

Acara kemuncak
Musical chair

Penyelaras

St Andrews dan kawasan sekitar: Rauhan
Peralatan sukaneka dan hadiah: Fiza dan Elly
Logistik (BBQ set, arangbatu, mancis, pinggan mangkuk, tikar)- Taufik
Makanan: Khamsah Suryati
Pengangkutan: Abg Azmi

Saturday, May 15, 2010

Usrah di Glenisla

Mengambil iktibar daripada hadis Nabi s.a.w: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu melainkan ia mengasihi sudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri", warga KMD berkumpul di Glens of Isle untuk sama-sama memanfaatkan waktu bersama di samping berkongsi ilmu dan pengalaman. Ustaz Amin menghuraikan lanjut tentang intipati hadis tersebut dan bagaimana ia diterjemahkan dalam konteks semasa. Membantu sahabat seMuslim menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kita demi kesempurnaan imam. Adalah malang jikalau kita mengambil sikap berkecuali apabila mengetahui sahabat kita dalam kesusahan. Ya, memang membantu sahabat satu agama memerlukan pengorbanan. Namun, syukurnya kita, pengorbanan yang dibuat untuk membantu sahabat satu agama kita belum sampai ke tahap menumpahkan darah. Justeru apabila mengetahui sahabat seIslam kita dizalimi di gaza, pelstin dan di rantau dunia lain, amat penting sekali kita untuk menghulurkan bantuan.
Anak-anak yang dibesarkan dengan suasana ukhuwah sesama Islam serta hubungan yang dibina berasaskan al-Quran dan al-Hadis insyaAllah akan dirahmai yang Maha Esa. Mereka masih bersih dari dosa dan pahala. Kita sebagai ibu bapa yang mencorakkan haluan pemikiran mereka sehinggalah mereka membesar dan berupaya menilai baik-buruk. Melalui aktiviti sebegini, hubungan dengan alam sekitar sebagaimana dianjurkan dalam Islam dapat dipraktikkan. Tambahan pula pepohon, air yang berlari, binatang berkeliaran dan batu-batan adalah makhluk Allah yang sentiasa berzikir kepada-Nya.

Usrah muslimah hangat membincangkan tentang soal kekeluargaan. Banyak ilmu dan pengalaman dikongsikan. Semua perbincangan ini adalah perbincangan yang menambahkan iman insyaAllah. Pertemuan sebegini, di samping mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi, yang paling penting mencanmbahkan pemikiran Islam dan menguatkan akidah Islamiah.

Isu-isu semasa dikupas dalam skop yang pelbagai dengan dimensi yang berbeza-beza. Inilah indahnya Islam yang tidak pernah menghalang perbezaan pendapat malah menghormati sebarang pandangan berbeza asalkan ianya tidak lari dari landasan al-Quran dan as-Sunnah. Semoga ia menjadi satu budaya yang sering subur dalam memastikan kelangsungan hidup ini sentiasa dinaugi-Nya.
(Nota: Usrah kali ini disertai oleh Ustaz Dr. Amin sekeluarga, Taufik sekeluarga, Abg. Tarmidi dan zaujah, Mahzan sekluarga, Mahadi dan zaujah, Helmi, Syikin dan Zaid, Abg Azmi sekeluarga, Azahar sekeluarga dan Chef Zul sekeluarga)



Thursday, May 13, 2010

Panduan Urusan dari UK ke Malaysia

Berikut adalah nasihat (yang telah dibuat sedikit penyuntingan) daripada Ustaz Lutfi berdasarkan pengalaman beliau pulang ke Malaysia.

Di UK

1. Pilih syarikat yang establish di UK dan di Malaysia. Umpamanya syarikat Palshipping (setakat pengalaman beliau, servis Palshipping memuaskan).

2. Barangan di Malaysia dan di UK dibawah satu pengurusan. Hubungi syarikat yang diyakini. Dapatkan sebut harga untuk kontena 40' atau 20'.

  • Harga berbeza mengikut harga minyak dan saiz kontena berkenaan. Kebiasaannya harga 20' lebih murah berbanding 40'; sebab kos trailler untuk menarik kontena lebih kurang sama saja.
  • Kontena 20' biasanya muat untuk sebuah kereta dan beberapa kotak. Space untuk kereta 15' jadi ada baki 5' untuk kotak (amat terhad) .
  • Minta juga quotation untuk ship kereta sahaja bagi tujuan perbandingan harga.

3. Wrap barangan dengan cermat menggunakan bubble wrap.

4. Kotak jgn terlalu besar dan berat. Gunakan yang sederhana sahaja. Contohnya kalau kotak terlalu besar, isikan barangan yang ringan sahaja. Ini memudahkan proses mengangkut barangan.

5. Buat appointment dgn Ninewells garage untuk loading kereta ke dalam kontena. Fix masa dgn shipping dulu baru fix masa dengan garage. Kalau boleh hari Sabtu sebab hari Ahad garage ditutup. Jika ada servis seklipun bayarannya mahal. Pada Januari 2010, kos yang dikenakan adalah £50 sahaja.

Di Malaysia

1. Apabila bawa kontena ada CLEARANCE FEES yang perlu dibayar on top of harga kontena tadi (sewaktu nak keluarkan barangan bersama kereta nanti). Kita perlu bayar kepada agent shipping di Malaysia.

2. Nilai clearance ni mengikut saiz kontena, bukan kuantiti barang. Contohnya 1 kereta + barang dikira satu

3. Jadi elok dapatkan quotation utk clearance fee daripada shipping company yg dipilih (sesetengah syarikat untuk bayaran kontena telah dimasukkan clearence fee di Malaysia/Port Klang. Jadi perlu dapatkan penjelasan yang terperinci.

4. Kalau kita ship kotak sahaja - tidak ada clerance fees- door to door, (mungkin dah include sekali dlm harga shipping tu).

5. Kalau ship kereta sahaja -memang ada clearance fee- boleh tanya syarikat shipping sebab harga berubah-ubah mengikut ekonomi semasa

6. Sewa lori utk bawa barangan keluar dari Port Klang, harga bergantung kepada lokasi/distance.

Ringkasnya:
KOS yang perlu dibayar

  • Harga Kontena (ikut saiz)
  • Clearance fee
  • Harga loading kereta ke dalam kontena
  • Sewa lori masa di Malaysia
"Berdasarkan pengalaman, bayaran kasar untuk semua kos di atas lebih kurang RM 13 ribu. (mengikut kadar currency masa itu). Sekarang ni currency dah murah, mungkin kos murah sikit lagilah agaknya (kos belum termasuk cukai kereta)"

Sedikit nasihat:

  • Kalau ada barang-barang berharga eloklah guna kontena, insya Allah selamat, tiada kerosakan. Kalau ship kotak sahaja seandainya barangan itu berharga dikuatiri pecah atau rosak.
  • AP dan cukai bila dah balik nanti barulah boleh diuruskan.
(Diedit oleh Mohd. Mahzan)

Monday, April 12, 2010

Jalan-Jalan Stirling

Melawat Stirling Castle

Pada 3 April 2010, Biro Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan aktiviti Jalan-Jalan Stirling. Seramai 35 orang warga KMD (termasuk kanak-kanak) telah turut serta. Acara lawatan dimulakan dengan melawat Stirling Castle. Kemudiannya ahli rombongan telah membuat pendakian 'hormat' ke Tugu Peringatan William Wallace (William Wallace National Monument) yang jaraknya hanya 5 minit berkereta dari Stirling Castle.


Mendaki bukit ke William Wallace Monument..perit la jugak....

Rombongan seterusnya bergerak ke Loch Lomond Shores, Ballock untuk makan tengahari secara piknik dan juga solat. Rancangan asal adalah melawat SeaLife Aquarium tetapi tidak terlaksana kerana ahli rombongan lambat sampai ke Loch Lomond (gara-gara penat mendaki).

Berkelah di Loch Lomond

Kesemua ahli rombongan berpuas hati dengan aktiviti ini walaupun cuaca sekejap hujan, sekejap panas, tetapi alhamdullilah semasa berpiknik cuaca amat baik sekali. Biro Sukan dan Rekreasi mengucapkan terima kasih kepada yang mengambil bahagian.

Aktiviti: Jalan-Jalan Stirling
Anjuran: Biro Sukan dan Rekreasi
Penyelaras: Khamsah S Mohd
Pembantu: Nor Fazliyaton Abdul Kadir

Laporan oleh Khamsah S Mohd
Gambar ihsan Helmi Hadi, Wan Norhafiza dan Amir Ahmad

Saturday, March 6, 2010

Sambutan Maulidurrasul, warga baru dan pengantin baru KMD

Majlis ini akan diadakan sebagaimana berikut:

Tarikh: 13 Mac 2010 (27 Rabiulawal 1431 H)
Hari: Sabtu
Masa : 1.00 - 5.30 petang
Tempat: Taymills Common Room
Aturcara:

1.00 - Ketibaan ahli KMD
1.15 - Menjamu selera
2.20 - Bacaan al-Quran and terjemahan
2.30 - Kisah nabi
2.40 - Sesi taaruf (meraikan warga baru dan pengantin baru)
3.20 - Forum
5.30 - Majlis tamat

Semua warga KMD dijemput hadir.

Intipati Usrah 27 Februari 2010

Usrah muslimin diadakan di rumah Tarmidi-Zulaikha, manakala usrah muslimat pula diadakan di rumah Mahmud-Rabihah. Intipati usrah yang dimuatkan ini adalah daripada perbincangan usrah muslimin.

Kehebatan Al-Quran
Ahli-ahli usrah membaca al-Quran ayat 189 - 197. Sebagaimana kelaziman biasa, setiap ahli membaca satu ayat kemudian diikuti dengan bacaan terjemahan serta tafsir. Tafsiran ayat-ayat ini dilakukan oleh Ustaz Amin.

Iktibar daripada ayat-ayat al-Quran memperlihatkan kepada kita betapa agung dan hebatnya al-Quran. Dengan hanya beberapa ayat sahaja, ia merangkumi multi-disiplin ilmu dan penuh dengan falsafah yang takkan habis dibahas, zaman demi zaman.Umpamanya ayat 189-197 telah mengutarakan ilmu-ilmu falak, astronomi, sains politik, etika dan juga feqah. Kalau nak dibandingkan dengan tesis PhD,satu muka surat tesis belum mampu lagi memuatkan falsafah. Logik akal saja telah menunjukkan yang al-Quran bukannya ciptaan dan rekaan manusia. Apabila Allh swt mengutarakan tentang falak dan astronomi, banyak konsep lain berkaitan dengan waktu berkembang, termasuklah bab matematik, statistik dan sebagainya. Soal jihad dinyatakan dengan memberi maksud betapa pentingnya pengajian sains politik dalam Islam. Jihad dalam Islam bukanlah bermaksud "mati atau membunuh diri" tetapi ianya adalah usaha menegakkan Islam di muka bumi ini. Sebelum mana-mana konvensyen tentang etika peperangan, al-Quran terlebih dahulu membicarakan tentang perkara ini.

Beri hak kepada huruf
Perkara ini diutarakan oleh Ustaz Nizam. Ia berkaitan rapat dengan sebutan dalam bacaan al-Quran. Setiap huruf dalam al-Quran mempunyai hak tersendiri. Maka usaha kita memberikan hak kepada huruf itu adalah suatu yang wajar sekali diusahakan. memberi hak kepada yang berhak adalah konsep adil dalam Islam. Beberapa pengaruh sebutan Melayu dalam bacaan al-Quran adalah pada huruf berikut:
1. Dho - sebutannya hendaklah tebal
2. Dal - sebutan yang betul adalah seperti "Dthal" - susah untuk ditulis tetapi perlu pelajari secara sebutan.

"Fitnah lebih kejam daripada membunuh"
Istilah "fitnah" yang kita fahami dalam konteks umum masyarakat Melayu dan Malaysia sebenarnya tidak bertepatan dengan konsep syariat tentang "Fitnah" yang sebenar.
Fitnah, buhtan dan al-ghibah
Fitnah menurut syariat adalah perbuatan yang menarik seseorang untuk jauh daripada kebenaran malah mampu menggoncangkan keimanan. Fitnah dalam masyarakat Melayu lazimnya difahami sebagai satu tuduhan kepada seseorang yang mana dalam istilah syariat disebut sebagai Buhtan, dan bukannya fitnah. Ghibah atau istilah Melayu ialah mengumpat, iaitu mendedahkan keaiban seseorang. Namun, bagi seseorang yang dizalimi, amat wajar baginya mendedahkan keaiban seseorang sebagai iktibar kepada orang lain. Jadi, tidak timbul soal mengumpat jika kita pernah dianiaya oleh seseorang dan mendedahkan kepada orang lain yang mungkin berdepan dengan risiko dizalimi pula. Malah, ia menjadi tanggungjawab kita pula untuk menyampaikannya, namun untuk memaksa seseorang menerima pengalaman kita sebagai asas keputusan oleh orang lain adalah suatu yang tidak wajar. Tugas kita menyampaikan, selebihynya serah kepada orang lain untuk membuat keputusan.

Hadis 11 Ragu-ragu atau was-was
Hadis ini merupakan penawar kepada penyakit psikologi was-was, lupa dan ragu-ragu. Dalam ibadat solat umpamanya, berlaku was-was tentang rakaat; maka jalan keluar yang dijelaskan dalam hadis ini ialah kembali kepada jumlah rakaan yang pasti. Umpamanya kita ragu-ragu sudah berapa rakaat kita solat Zuhur, tiga atau empat. Berapakah rakaat yang kita memang yakin lakukan? Jawapannya ialah 3. Maka perlu ditambah 1 lagi. Contoh lain yang kita jarang didedahkan ialah: Kita ada wudhu. Tiba-tiba kita ragu-ragu sama ada wudhu kita dah terbatal atau belum. Perkara apakah yang dah yakin? Wudhu memang diambil. Maka kita kembali kepada yang memang dah pasti tadi, iaitu sudah berwudhu. Tetapi kalau kita nak perbaharui wudhu, itu isu lain.

Catatan:
Mohd Mahzan Awang

Biro Informasi KMD

Artikel ini bukan kenyataan rasmi KMD tetapi laporan diskusi informal ahli-ahli KMD. Sebarang feedback boleh disalurkan ke melayudundee@gmail.com

Sunday, February 14, 2010

Sihir dan isu di sebaliknya

Usrah kali ini diadakan di rumah Penghulu KMD - Saudara Mohd Taufik Alias & Aini (untuk muslimat) dan rumah Abang Azmi & Kak Raihan (untuk muslimin). Perbincangan usrah pada kali ini banyak berkisar kepada fenomena sihir dan alam jin.
Ia sebenarnya menjadi satu isu besar dalam kalangan masyarakat Melayu kerana kerap kali soal ilmu sihir dan penderitaan akibat daripada itu dihebahkan. Malah ada yang pernah menyaksikan sendiri situasi yang sukar dijawab oleh sains ini. Hakikatnya alam jin adalah berbeza dengan alam dunia nyata. Dalam konteks masyarakat Melayu, perkara ini seringkali diterjemahkan dalam konsep yang pelbagai dan juga dalam konteks yang mengelirukan. Adakalanya ia berselirat dengan amalan kebatinan, ilmu-ilmu pertahankan diri serta pelbagai lagi. Mereka yang teraniaya dengan perkara ini lazimnya menantikan keajaiban dalam merawatinya. Walhal kehidupan dunia ini bergerak atas sunah yang ditentukan Allah, yakni pergerakan alam ini bergerak atas sunnah yang dietntukan Allah swt - umpamanya sunah "api" itu membakar serta panas. Maka apabila api "tidak membakar dan tidak panas", ia seolah-olah terkeluar tabi'i nya. Apabila perkara ini berlaku, kita akan melihatnya sebagai suatu yang ajaib. Kenapa kita berasa begitu? Sebab pada kita memang api sifatnya membakar. Sains juga membuktikan ianya membakar. Namun kita mungkin tidak tahu yang mungkin ada masanya api tidak membakar. Adakah wujud sihir di situ? Ada masanya material pun boleh bertukar menjadi ular (merujuk kepada ahli sihir pada zaman nabi Musa).
Lazimnya masyarakat Melayu kerap kali mengaitkan soal agama dengan banyak perkara "ajaib", ertinya apabila bercakap tentang agama yang lebih ditonjolkan adalah keajaiban (maknanya jarang-jarang berlaku dalam situasi biasa). Kita juga lebih berasa kagum dengan perkara-perkara ajaib dalam kehidupan beragama. Bagaimana dengan asas-asas kepada fenomena ini? Kita juga sering keliru antara "pendapat" yang disuarakan oleh ulamak terdahulu dengan "isu sebenar" yang mendasari sesuatu perkara. Kita jarang untuk kembali menyemak Al-Quran dan Al-Hadis tetapi lebih tertumpu kepada jawapan yang diberikan oleh ilmuan terdahulu. Memang wajar untuk menghormati pendapat yang diberikan itu tetapi sejauhmanakah kita berupaya menilai antara "pendapat" beliau dengan "asas kepada beliau mengeluarkan pendapat itu". Umpamanya dalam kitab-kita fekah disebut tentang prioriti untuk menjadi seorang imam. Ada pengkategorian yang teliti tentang kelayakan menjadi imam. Ianya penuh dengan rasional. Apakah asas kepada kategori ini? Tidakkah kita kaji lebih mendalam kenapa kategori ini dibuat? Apakah asas pertimbangannya? Sedarkah kita bahawa nabi Muhammad saw mengharapkan imam adalah seorang pemimpin kepada satu kumpulan muslim. Imam dan pemimpin itu wajarnya satu. Anehnya imam lain, pemimpin lain. Maka apabila imam memberi nasihat, ia tidak lebih kepada cakap-cakap biasa. Tapi apabila pemimpin memberi nasihat ia lebih dilihat sebagai suatu yang amat penting. Jadi, sebelum berhujah amat perlu kita fahami isu dan masalah dasar yang menjadi asas kepada pendapat seseorang ilmuan. Kenapa perkara ini terjadi? Pendapat saya ialah sebab kurangnya ilmu alat. Iaitu ilmu yang membantu kita untuk memahami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan usaha memahami Islam. Antara ilmu alat yang mesti ialah bahasa Arab itu sendiri dibantu dengan disiplin ilmu

Sebarang respon, pendapat dan hujah-hujah terhadap perkara ini amat dialu-alukan.

Mohd Mahzan Awang
*Artikel ini bukan kenyataan rasmi KMD tetapi laporan perbincangan tidak formal warga KMD beserta refleksi penulis*
-Raja Ali Haji (1808 - 1873) pernah mengkritik masyarakat Melayu yang kurang menulis tetapi lebih banyak bercakap. Akhirnya segala pemikiran Melayu lampau tidak didokumentasikan, tak dapat diteliti, susah dikaji dan gagal dikembangkan oleh generasi seterusnya. Ia juga membuatkan khazanah Melayu menjadi beku. Berbeza dengan budaya masyarakat Barat yang rajin menulis idea, pengalaman serta refleksi yang akhirnya dikembangkan oleh generasi berikutnya. Malah, banyak karya-karya lisan dibukukan oleh pegawai Inggeris. Umpamanya W.G.Shellabear yang mendokumentasikan bebarapa karya agung Melayu. Ia membantu kepada kajian tentang pemikiran masyarakat lampau. Kenapa ianya penting? Sejarah lazimnya berulang ... -