Monday, April 12, 2010

Jalan-Jalan Stirling

Melawat Stirling Castle

Pada 3 April 2010, Biro Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan aktiviti Jalan-Jalan Stirling. Seramai 35 orang warga KMD (termasuk kanak-kanak) telah turut serta. Acara lawatan dimulakan dengan melawat Stirling Castle. Kemudiannya ahli rombongan telah membuat pendakian 'hormat' ke Tugu Peringatan William Wallace (William Wallace National Monument) yang jaraknya hanya 5 minit berkereta dari Stirling Castle.


Mendaki bukit ke William Wallace Monument..perit la jugak....

Rombongan seterusnya bergerak ke Loch Lomond Shores, Ballock untuk makan tengahari secara piknik dan juga solat. Rancangan asal adalah melawat SeaLife Aquarium tetapi tidak terlaksana kerana ahli rombongan lambat sampai ke Loch Lomond (gara-gara penat mendaki).

Berkelah di Loch Lomond

Kesemua ahli rombongan berpuas hati dengan aktiviti ini walaupun cuaca sekejap hujan, sekejap panas, tetapi alhamdullilah semasa berpiknik cuaca amat baik sekali. Biro Sukan dan Rekreasi mengucapkan terima kasih kepada yang mengambil bahagian.

Aktiviti: Jalan-Jalan Stirling
Anjuran: Biro Sukan dan Rekreasi
Penyelaras: Khamsah S Mohd
Pembantu: Nor Fazliyaton Abdul Kadir

Laporan oleh Khamsah S Mohd
Gambar ihsan Helmi Hadi, Wan Norhafiza dan Amir Ahmad

Saturday, March 6, 2010

Sambutan Maulidurrasul, warga baru dan pengantin baru KMD

Majlis ini akan diadakan sebagaimana berikut:

Tarikh: 13 Mac 2010 (27 Rabiulawal 1431 H)
Hari: Sabtu
Masa : 1.00 - 5.30 petang
Tempat: Taymills Common Room
Aturcara:

1.00 - Ketibaan ahli KMD
1.15 - Menjamu selera
2.20 - Bacaan al-Quran and terjemahan
2.30 - Kisah nabi
2.40 - Sesi taaruf (meraikan warga baru dan pengantin baru)
3.20 - Forum
5.30 - Majlis tamat

Semua warga KMD dijemput hadir.

Intipati Usrah 27 Februari 2010

Usrah muslimin diadakan di rumah Tarmidi-Zulaikha, manakala usrah muslimat pula diadakan di rumah Mahmud-Rabihah. Intipati usrah yang dimuatkan ini adalah daripada perbincangan usrah muslimin.

Kehebatan Al-Quran
Ahli-ahli usrah membaca al-Quran ayat 189 - 197. Sebagaimana kelaziman biasa, setiap ahli membaca satu ayat kemudian diikuti dengan bacaan terjemahan serta tafsir. Tafsiran ayat-ayat ini dilakukan oleh Ustaz Amin.

Iktibar daripada ayat-ayat al-Quran memperlihatkan kepada kita betapa agung dan hebatnya al-Quran. Dengan hanya beberapa ayat sahaja, ia merangkumi multi-disiplin ilmu dan penuh dengan falsafah yang takkan habis dibahas, zaman demi zaman.Umpamanya ayat 189-197 telah mengutarakan ilmu-ilmu falak, astronomi, sains politik, etika dan juga feqah. Kalau nak dibandingkan dengan tesis PhD,satu muka surat tesis belum mampu lagi memuatkan falsafah. Logik akal saja telah menunjukkan yang al-Quran bukannya ciptaan dan rekaan manusia. Apabila Allh swt mengutarakan tentang falak dan astronomi, banyak konsep lain berkaitan dengan waktu berkembang, termasuklah bab matematik, statistik dan sebagainya. Soal jihad dinyatakan dengan memberi maksud betapa pentingnya pengajian sains politik dalam Islam. Jihad dalam Islam bukanlah bermaksud "mati atau membunuh diri" tetapi ianya adalah usaha menegakkan Islam di muka bumi ini. Sebelum mana-mana konvensyen tentang etika peperangan, al-Quran terlebih dahulu membicarakan tentang perkara ini.

Beri hak kepada huruf
Perkara ini diutarakan oleh Ustaz Nizam. Ia berkaitan rapat dengan sebutan dalam bacaan al-Quran. Setiap huruf dalam al-Quran mempunyai hak tersendiri. Maka usaha kita memberikan hak kepada huruf itu adalah suatu yang wajar sekali diusahakan. memberi hak kepada yang berhak adalah konsep adil dalam Islam. Beberapa pengaruh sebutan Melayu dalam bacaan al-Quran adalah pada huruf berikut:
1. Dho - sebutannya hendaklah tebal
2. Dal - sebutan yang betul adalah seperti "Dthal" - susah untuk ditulis tetapi perlu pelajari secara sebutan.

"Fitnah lebih kejam daripada membunuh"
Istilah "fitnah" yang kita fahami dalam konteks umum masyarakat Melayu dan Malaysia sebenarnya tidak bertepatan dengan konsep syariat tentang "Fitnah" yang sebenar.
Fitnah, buhtan dan al-ghibah
Fitnah menurut syariat adalah perbuatan yang menarik seseorang untuk jauh daripada kebenaran malah mampu menggoncangkan keimanan. Fitnah dalam masyarakat Melayu lazimnya difahami sebagai satu tuduhan kepada seseorang yang mana dalam istilah syariat disebut sebagai Buhtan, dan bukannya fitnah. Ghibah atau istilah Melayu ialah mengumpat, iaitu mendedahkan keaiban seseorang. Namun, bagi seseorang yang dizalimi, amat wajar baginya mendedahkan keaiban seseorang sebagai iktibar kepada orang lain. Jadi, tidak timbul soal mengumpat jika kita pernah dianiaya oleh seseorang dan mendedahkan kepada orang lain yang mungkin berdepan dengan risiko dizalimi pula. Malah, ia menjadi tanggungjawab kita pula untuk menyampaikannya, namun untuk memaksa seseorang menerima pengalaman kita sebagai asas keputusan oleh orang lain adalah suatu yang tidak wajar. Tugas kita menyampaikan, selebihynya serah kepada orang lain untuk membuat keputusan.

Hadis 11 Ragu-ragu atau was-was
Hadis ini merupakan penawar kepada penyakit psikologi was-was, lupa dan ragu-ragu. Dalam ibadat solat umpamanya, berlaku was-was tentang rakaat; maka jalan keluar yang dijelaskan dalam hadis ini ialah kembali kepada jumlah rakaan yang pasti. Umpamanya kita ragu-ragu sudah berapa rakaat kita solat Zuhur, tiga atau empat. Berapakah rakaat yang kita memang yakin lakukan? Jawapannya ialah 3. Maka perlu ditambah 1 lagi. Contoh lain yang kita jarang didedahkan ialah: Kita ada wudhu. Tiba-tiba kita ragu-ragu sama ada wudhu kita dah terbatal atau belum. Perkara apakah yang dah yakin? Wudhu memang diambil. Maka kita kembali kepada yang memang dah pasti tadi, iaitu sudah berwudhu. Tetapi kalau kita nak perbaharui wudhu, itu isu lain.

Catatan:
Mohd Mahzan Awang

Biro Informasi KMD

Artikel ini bukan kenyataan rasmi KMD tetapi laporan diskusi informal ahli-ahli KMD. Sebarang feedback boleh disalurkan ke melayudundee@gmail.com

Sunday, February 14, 2010

Sihir dan isu di sebaliknya

Usrah kali ini diadakan di rumah Penghulu KMD - Saudara Mohd Taufik Alias & Aini (untuk muslimat) dan rumah Abang Azmi & Kak Raihan (untuk muslimin). Perbincangan usrah pada kali ini banyak berkisar kepada fenomena sihir dan alam jin.
Ia sebenarnya menjadi satu isu besar dalam kalangan masyarakat Melayu kerana kerap kali soal ilmu sihir dan penderitaan akibat daripada itu dihebahkan. Malah ada yang pernah menyaksikan sendiri situasi yang sukar dijawab oleh sains ini. Hakikatnya alam jin adalah berbeza dengan alam dunia nyata. Dalam konteks masyarakat Melayu, perkara ini seringkali diterjemahkan dalam konsep yang pelbagai dan juga dalam konteks yang mengelirukan. Adakalanya ia berselirat dengan amalan kebatinan, ilmu-ilmu pertahankan diri serta pelbagai lagi. Mereka yang teraniaya dengan perkara ini lazimnya menantikan keajaiban dalam merawatinya. Walhal kehidupan dunia ini bergerak atas sunah yang ditentukan Allah, yakni pergerakan alam ini bergerak atas sunnah yang dietntukan Allah swt - umpamanya sunah "api" itu membakar serta panas. Maka apabila api "tidak membakar dan tidak panas", ia seolah-olah terkeluar tabi'i nya. Apabila perkara ini berlaku, kita akan melihatnya sebagai suatu yang ajaib. Kenapa kita berasa begitu? Sebab pada kita memang api sifatnya membakar. Sains juga membuktikan ianya membakar. Namun kita mungkin tidak tahu yang mungkin ada masanya api tidak membakar. Adakah wujud sihir di situ? Ada masanya material pun boleh bertukar menjadi ular (merujuk kepada ahli sihir pada zaman nabi Musa).
Lazimnya masyarakat Melayu kerap kali mengaitkan soal agama dengan banyak perkara "ajaib", ertinya apabila bercakap tentang agama yang lebih ditonjolkan adalah keajaiban (maknanya jarang-jarang berlaku dalam situasi biasa). Kita juga lebih berasa kagum dengan perkara-perkara ajaib dalam kehidupan beragama. Bagaimana dengan asas-asas kepada fenomena ini? Kita juga sering keliru antara "pendapat" yang disuarakan oleh ulamak terdahulu dengan "isu sebenar" yang mendasari sesuatu perkara. Kita jarang untuk kembali menyemak Al-Quran dan Al-Hadis tetapi lebih tertumpu kepada jawapan yang diberikan oleh ilmuan terdahulu. Memang wajar untuk menghormati pendapat yang diberikan itu tetapi sejauhmanakah kita berupaya menilai antara "pendapat" beliau dengan "asas kepada beliau mengeluarkan pendapat itu". Umpamanya dalam kitab-kita fekah disebut tentang prioriti untuk menjadi seorang imam. Ada pengkategorian yang teliti tentang kelayakan menjadi imam. Ianya penuh dengan rasional. Apakah asas kepada kategori ini? Tidakkah kita kaji lebih mendalam kenapa kategori ini dibuat? Apakah asas pertimbangannya? Sedarkah kita bahawa nabi Muhammad saw mengharapkan imam adalah seorang pemimpin kepada satu kumpulan muslim. Imam dan pemimpin itu wajarnya satu. Anehnya imam lain, pemimpin lain. Maka apabila imam memberi nasihat, ia tidak lebih kepada cakap-cakap biasa. Tapi apabila pemimpin memberi nasihat ia lebih dilihat sebagai suatu yang amat penting. Jadi, sebelum berhujah amat perlu kita fahami isu dan masalah dasar yang menjadi asas kepada pendapat seseorang ilmuan. Kenapa perkara ini terjadi? Pendapat saya ialah sebab kurangnya ilmu alat. Iaitu ilmu yang membantu kita untuk memahami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan usaha memahami Islam. Antara ilmu alat yang mesti ialah bahasa Arab itu sendiri dibantu dengan disiplin ilmu

Sebarang respon, pendapat dan hujah-hujah terhadap perkara ini amat dialu-alukan.

Mohd Mahzan Awang
*Artikel ini bukan kenyataan rasmi KMD tetapi laporan perbincangan tidak formal warga KMD beserta refleksi penulis*
-Raja Ali Haji (1808 - 1873) pernah mengkritik masyarakat Melayu yang kurang menulis tetapi lebih banyak bercakap. Akhirnya segala pemikiran Melayu lampau tidak didokumentasikan, tak dapat diteliti, susah dikaji dan gagal dikembangkan oleh generasi seterusnya. Ia juga membuatkan khazanah Melayu menjadi beku. Berbeza dengan budaya masyarakat Barat yang rajin menulis idea, pengalaman serta refleksi yang akhirnya dikembangkan oleh generasi berikutnya. Malah, banyak karya-karya lisan dibukukan oleh pegawai Inggeris. Umpamanya W.G.Shellabear yang mendokumentasikan bebarapa karya agung Melayu. Ia membantu kepada kajian tentang pemikiran masyarakat lampau. Kenapa ianya penting? Sejarah lazimnya berulang ... -

Sunday, January 31, 2010

Bicara kita

oleh Mohd Mahzan Awang
(Tiga artikel berikut berasaskan pertemuan warga KMD pada usrah Muslimin di rumah penulis pada 30 Januari 2010)

Ayatul-ahkam
Perbincangan dipimpin oleh Ustaz Dr. Aminurasyid Yatiban
Surah al-Baqarah memuatkan ayatul ahkam - iaitu ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum-hakam. Ayat 172 - 173 dalam surah ini ditujukan kepada orang yang beriman agar mematuhi larangan Allah swt terhadap beberapa perkara berkaitan dengan halal-haram makanan. Pendekatan yang Allah swt gunakan ialah dengan menyatakan perkara positif dahulu sebelum menyatakan larangan. Pendekatan ini digunakan secara common dalam sesi kaunseling dan pedagogi. Puji dulu kemudian baru tegur. Balik kepada ayat al-Quran dalam surah ini, Allah swt menjelaskan perkara yang dihalalkan dahulu sebelum perkara-perkara yang diharamkan. Frasa "innama ..." dalam al-Quran memberitahu kita bahawa Allah swt akan memperincikan secara spesifik perkara-perkara tertentu. Dalam ayat ini, perkara yang dibuat specify ialah haram memakan bangkai, addhari (darah) dan khinzir. Namun masih ada kelonggaran dalam keadaan darurat yang mana makan diperlukan untuk hidup. Umpamanya apabila manusia terperangkan dalam runtuhan yang ketiadaan sumber untuk memastikan kelangsungan hidup, perkara yang diharamkan adalah dibolehkan. Hanya kita yang tahu sejauhmana makan perkara yang bolehkan itu untuk hidup atau untuk memenuhi nafsu makan.

Dalam isu halal dan haram makanan terutamanya khinzir, hujah logik yang diberikan oleh umat Islam ialah bersangkutan dengan ketidaksesuaian daging itu untuk kesihatan. Namun, ia bukanlah hujah yang boleh dijadikan sebab kenapa kita tidak memakannya. Kerana yang paling utama bagi umat Islam ialah PATUH kepada segala arahan Allah swt. Pembuktian saintifik untuk yakin dan patuh pada arahan Allah swt adalah satu pendekatan yang amat-amat tidak wajar. Kita memang digalakkan untuk menganalisis kenapa Allah swt memerintahkan sesuatu perkara namun langkah pertama yang mesti ada dalam hati ialah YAKIN dengan arahan Allah swt itu, kemudiannya terus AMALKAN tanpa banyak bicara. Kemudian untuk kaji tentang perkara itu boleh diteruskan.

Toyyib - Hadis 10 susunan Imam Nawawi
Perbincangan dipimpin oleh Sdr. Zahiruddin
Amnya hadis ini membincangkan tentang perpektif Islam terhadap keluhuran, kesucian, kebersihan dalaman dan luaran. Allah swt memang cintakan dan sukakan kebersihan, lahiriah dan batiniah. Fokus hadis ini ialah dalam bab mencari rezeki yang halal demi keberkatan Allah swt. Juga mengisahkan adab berdoa yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad saw - umpamanya dengan menadah tangan serta mengangkatnya ke langit sambil berdoa sepenuh hati. Renungan yang dapat diambil adalah:

"Sejauhmana Allah swt dapat memakbulkan doa umat Islam yang mana dia membesar dengan sumber yang haram?

Dengan daging-daging dan tulang-tulang yang terbina daripada hasil yang "kotor" (rasuah, menipu dan sebagainya), sejauhmana Allah swt dapat menerima doa seseorang mukmin? Bagaimana Allah swt dapat memberi keberkatan hidup kepada orang yang sebegini. Kita sebenarnya lebih melihat soal hasil yang "kotor" ini dengan melihat kes-kes yang dipaparkan di media. Bagaimana pula dengan kita yang juga ada ruang untuk melakukan dosa umpamanya "membuat adjustment tentang claim, tuntutan perjalanan, menipu - membesar-besarkan cerita yang tak ada dan sebagainya".
Biarlah bulan bicara sendiri ...
"Maafkanlah dia, nabi pun maafkan umatnya," nasihat Azlan kepada Farouq.
"Itu nabi, memang macam itu. Dia maksum!" tegas Farouq yang marah dengan kekasihnya kerana mengahwini lelaki lain pada saat Farouq di tahun akhir pengajian di Dundee.
"Nabi pun manusia juga," jelas Azlan lagi.
"Aku tahu itu semua, tapi nabi lain, aku lain. Aku hanya manusia biasa saja. Tak boleh nak samakan nabi dengan kita!" Farouq bertegas. Farouq masih geram dan berdendam dengan Liz. Azlan menghampiri Farouq seraya berkata "Jom, aku belanja kau minum. Kita pergi ke library cafe".
Farouq terdiam. Akur. Dia menutup buku tulisan Anthony Giddens dan berjalan ke cafe. Seharian dia tak dapat fokus pada pengajiannya. Liz meninggalkan dia tanpa alasan yang kukuh.
"Begini Farouq. Aku ingin ceritakan tentang nabi kita Muhammad saw," Azlan memulakan bicara.
"Engkau masih tak dapat menerima yang kita berlainan dengan nabi," ujar Faroiq sambil mengacau Coffee Latte.
Azlan tersenyum sambil menuangkan tiga paket gula ke dalam cawan kopinya.Tidak ramai pelajar di perpustakaan Dundee. Suasana agak tenang kerana hari melewati senja.
"Sebenarnya Farouq, aku kata yang nabi Muhammad saw adalah manusia biasa kerana baginda juga tidak pasti tentang hari esok. Baginda kerap berdoa memohon keampunan Allah swt. Kalau baginda amat berkuasa dan 100% yakin dengan apa juga yang baginda lakukan kenapa baginda perlu bersusah-payah mengatur strategi dalam kehidupan seharian. Baginda juga mengadakan mesyuarat untuk mendapatkan keputusan terbaik. Malah, baginda sering berdoa, mengerjakan ibadat dan bersolat kerana baginda sendiri pun tidak tahu tentang hari esok. Baginda tak tahu sejauhmana perancangan Allah swt umat Islam. Baginda bukan penentu masa depan. Allah swt yang menentukan qadha dan qadha. Memang nabi Muhammad saw itu maksum tetapi baginda juga ada perasaan macam manusia biasa. Baginda berkahwin. Baginda juga ada anak, ada isteri ada keluarga. Baginda tak mampu untuk mengubah hati Abu Lahab agar memeluk Islam. Abu Lahab adalah antara bapa saudaranya yang paling disayangi. Soal rahmat adalah ketentuan Allah swt. Kita tak tahu. Sebab itu apabila dalam peperangan umpamanya, bagida sering membuat perbincangan, strategi dan sebagainya. Baginda tidak berserah tanpa usaha. Jadi kalau nabi Muhammad saw pun boleh bersabar dan maafkan kesalah orang lain kenapa kita tak boleh," hurai Azlan dengan lanjut. Riak wajah Farouq berubah. Matanya tepat melihat ke cawannya. Matanya tetap berkaca. Hatinya remuk dan masih merindui Liz. Hari ini tiada bayangan Liz di perpustakaan. Lazimnya Liz kerap ke perpustakaan terutama pada saat exam kian hampir.
"Tapi nabi kental semangat, jiwanya ..."
"Engkau tahu kenapa jiwanya begitu?"
"Entah .."
"Nabi Muhammad saw hampir dengan Allah swt. Dia cintakan Allah swt. Apabila kita cintakan seseorang umpamanya, kita akan rasa seronok menghampirinya dan gembira melakukan apa yang disukainya serta menjauhkan apa yang dia tak suka," hurai Azlan lanjut.
"Aku ini, entahlah ..." suara Farouq tersekat-sekat menahan sebak.
"Hadis sahih meriwatkan nabi Muhammad saw mengisahkan bagaimana nabi yang terdahulu ditimpa azab Allah swt kerana nabi tersebut berasa ujub dengan para sahabat dan pengikutnya. Nabi tersebut dikatakan telah menyatakan betapa hebatnya para pengikutnya sehingga lupa yang kehebatakan itu adalah kerana rahmat Allah swt. Justeru Allah sw memberi 3 pilihan kepada nabi tersebut. Pilihan pertama, kalah dalam perang; kedua azab kebuluran; ketiga mati. Maka tidak sanggup dengan dua pilihan pertama, akhirnya mereka diambil nyawa; 70,000 mati, bukan setepat angka ini tapi nak menggambarkan betapa ramai yang mati. Ini memberitahu bahawa nabi pun manusia biasa yang ada perasaan, emosi, rasa gerun, bimbang, cinta dan sayang,"
Farouq termenung seketika. Terdetik seketika yang dia terlalu mengikut kata hati. Biarpun Liz memeluk Islam pada asalnya disebabkan dakwah dan turur bicara Farouq tetapi jodohnya tiada. Farouq jugalah yang berusaha menemukan Liz dengan kumpulan wanita Muslim di masjid Dundee. Malah, komuniti Melayu Dundee juga turut membantu. Mungkin itu takdir Ilahi yang terbaik buat Liz. Liz memilih lamaran sahabat karibnya dari Jerman sebagai teman hidup. Salji turun mencurah bersama linangan air mata seorang lelaki.
(Cerpen ini hanyalah kreativiti penulis)

Artikel-artikel ini bukan kenyataan rasmi KMD. Ia dioleh oleh penulis berdasarkan perbincangan informal warga KMD serta kreativiti penulis.

Friday, January 22, 2010

Al-Fatihah

Bismillahirrahmanirrahim,

Kepulangan bonda ustazah Fatimah semalam (jam 4 pagi waktu Malaysia 21 Januari 2010) menguji ketabahan beliau sekeluarga yang jauh di perantauan. Semalam, solat jenazah ghaib, bacaan surah Yaasin dan tahlil diadakan di rumah ustazah Fatimah. Aktiviti ibadat sebegini merupakan budaya masyarakat Melayu Dundee. Semoga kehadiran sahabat-sahabat dalam majlis semalam diberkati Allah swt serta memberi semangat kepada ahli keluarga ustazah Fatimah untuk menerima kenyataan ini. Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, beberapa warga Melayu Dundee menerima berita kepulangan orang tersayang di tanahair. Antara mereka yang menerima berita sedemikian ialah saudara Zahiruddin (ayahanda pulang ke Rahmatullah), abang Tarmidi (kehilangan bapa saudara), saudara Mahadi (pemergian nenda), Vivi (kehilangan ayahanda), Shahrul (pemergian ayahanda), saudari Amir (ayah mentua pulang ke Rahmatullah), Abang Azmi (kehilangan kekanda - abang) dan Kak Maziah (pemergian kekanda). Ia menyedarkan kita sekali lagi bahawa kehidupan ini adalah fana. Yang telah pergi takkan kembali lagi. Al-fatihah untuk mereka yang telah pergi meninggalkan kita di alam fana ini. Moga Allah swt memberi hidayah dan taufik kepada kehidupan kita semua. Al-Fatihah ...

Monday, January 18, 2010

Hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia

oleh Mohd Mahzan Awang (Biro Penerangan dan Informasi KMD)

Usrah warga KMD secara gabungan dilakukan di rumah saudara Zahir pada 16 Januari 2010. Usrah yang dilakukan selang 2 minggu ini merupakan budaya KMD. Ia menyatukan warga KMD menerusi tradisi keilmuan. Lazimnya, usrah dimulakan dengan bacaan al-Quran, diikuti dengan tafsiran al-Quran dan al-Hadis, kemudian disusuli dengan perbincangan isu semasa. Adakalanya solat hajat dilakukan bagi memohon rahmat Allah swt terhadap apa jua isu yang didepani.

Ibadat dalam Islam
Ayat 157 - 167 dari surah al-Baqarah dikupas. Ayat ini adalah berkaitan dengan ibadah haji yang melibatkan sa'i antara bukit Safa dan Marwah. Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa ibadah khusus tidak boleh direka-reka atau dicipta sendiri. Kesemua ibadah khusus dalam Islam adalah bersandar kepada dalil dan nas yang jelas dari al-Quran dan al-Hadis. Maka, bagi golongan anti Hadis, satu hujah balas yang logik ialah sebagaimana berikut:
"Al-Quran mengarahkan umat Islam mendirikan solat tetapi tidak memperincikan bagaimana untuk mengerjakannya. Kepada anti-Hadis, soalan yang boleh menyedarkan mereka ialah dengan meminta mereka mengerjakan solat tanpa panduan al-Hadis. Bagaimana nak mengerjakan solat tanpa berpandukan kepada al-Hadis juga".

Kawalan emosi dalam Islam
Menerusi ayat 41 - 45, surah al-Baqarah, Allah swt menjelaskan kaedah untuk berdepan dengan masalah yang membangkitkan rasa marah. Maka, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan beristighafar. Istighafar memohon keampunan Ilahi. Ini adalah kerana kemungkinan besar masalah yang kita hadapi adalah salah satu kifarah terhadap dosa-dosa kita. Kemudian, kita diminta mengambil wudhu' dan mendirikan solat. Secara psikologi, marah tidak membabitkan masa yang lama. Marah lazimnya hanya sekitar 5 minit saja, selebihnya adalah ego, imej, maruah dan segala bentuk penyakit hati yang membuatkan kita keras hati dan berdegil dengan pendirian kita biarpun kita tahu sebenarnya kita kalah dalam "perlawanan" yang membangkitkan kemarahan itu.

Mukmin yang berjaya
Untuk menjadi mukmin berjaya kita dianjurkan supaya menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Namun, adakalanya kerana terlalu menjaga hubungan dengan manuisa kita membelakangi hubungan dengan Allah swt. Umpamanya dalam soal aurat dengan ahli keluarga besar, kita cenderung untuk meletakkan hubungan dengan manusia mengatasi hubungan dengan Allah swt. Dengan sepupu pun kita dedahkan aurat, malah dalam keadaan tertentu kita bersalam dengan mereka yang sah bukan muhrim. Kita terasa amat berat untuk melakukan perubahan kerana ianya telah sebati dengan cara hidup kita. Jadi, pendekatan berhikmah amat perlu dalam melakukan perubahan umpamanya dengan mengadakan perkumpulan keluarga yang bukan sekadar dipenuhi dengan aktiviti kenduri tetapi ada elemen keilmuan umpamanya aktiviti usrah yang kita adakan ini. Adalah lebih berkesan juga untuk menjemput alim ulama atau ustaz untuk menyampaikan sedikit tazkirah sebagai kaedah memberi ilmu kepada ahli keluarga dalam membuat perubahan positif ini. Satu elemen penting dalam melakukan perubahan ialah "organized change" umpamanya dengan mencari ahli-ahli keluarga yang menyokong gerakan perubahan budaya ini. Yang utama juga ialah kita tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi pada perubahan dan juga kita tidak boleh mengharapkan perubahan drastik. Perubahan memerlukan masa kerana perubahan yang kekal bermula dari kesedaran dalam diri ekoran daripada hidayah Allah swt.

Mengumpat (al-ghibah)
Kita amat ditegah untuk mendedahkan keaiban orang lain. Istilah bahasa Arab ialah al-ghibah atau istilah budaya Melayu ialah mengumpat. Banyak polemik ditimbulkan dalam mengkonsepsikan mengumpat. Namun sebenarnya kita tahu mana yang dikategorikan sebagai mengumpat dan mana satu yang kita boleh kategorikan sebagai satu bentuk penyampaian amaran dan pengajaran. Umpamanya adakah mendedahkan akhlak seseorang yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin dikategorikan sebagai mengumpat atau memfitnah? Atau adakah ianya dibolehkan demi kebenaran untuk kemaslahatan ummah? Adakah mengajar subjek sejarah (yang melibatkan individu tertentu) itu juga sebagai mengumpat? Bagaimana pula dengan kisah-kisah zaman nabi s.a.w. yang mendedahkan tentang keburukan akhlak seseorang? Adakah ianya mengumpat? Persoalan ini ditimbulkan agar kita sendiri menjawabnya untuk membuat definisi tentang mengumpat secara logik. Hakikatnya, kita sebenarnya tahu menilai apakah yang dikatakan mengumpat dan apakah yang bukan dikategorikan sebagai mengumpat.
Artikel ini ditulis berdasarkan perbincangan informal ahli KMD dan refleksi penulis. Ia bukan kenyataan rasmi KMD dan juga tidak mewakili pendirian KMD. Sebarang komen membetulkannya adalah dialu-alukan.